Friday, January 1, 2010

Ucapan Pengarah Pelajaran sempena 2010

Bismillah Hirrahman Nir Rohim

Assalamualaikum Warahmatulah Hiwabarokatuh dan

Selamat Sejahtera.

Terima kasih pengacara majlis.

1. Kata alu-aluan.

2. Alhamdulillah hingga ke hari ini kita masih lagi siap siaga untuk melaksanakan harapan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Kita juga amat bersyukur kerana masih sihat fizikal, mental dan emosi untuk bersama-sama menjadikan pendidikan Perak bertambah cemerlang. Saya amat bersyukur kerana semua usaha yang dirancang dalam melaksanakan majlis ini dapat dijelmakan kepada realiti.
3. Sepanjang 2009 kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan Alhamdulillah segala cabaran itu dapat kita tangani biar dalam payah getir yang sukar untuk ditaksirkan. Antara kepayahan itu ialah:

Masih ramai murid kita yang masih dibelenggu masalah literasi dan numerasi.
Pencapaian Perak dalam peperiksaan awam yang masih di bawah pencapaian nasional.
Pelbagai bencana yang berlaku di sekolah
Cabaran politik semasa dan undang-undang yang perguna untuk mencabar kita.
Warga kerja pendidikan yang masih tidak mematuhi akta dan pekeliling

4. Tahun 2009 akan meninggalkan kita tetapi cabarannya tetap mengekori kita ke tahun 2010. Malahan semua cabaran ini akan bertambah. Antara cabaran yang bertambah ialah:
2010 merupakan tahun akhir Perancangan Strategik dan menjadi kayu ukur usaha kita selama lima tahun. Berjaya atau gagal perancangan ini kerana kita sendiri.
NKRA dalam bidang pendidikan yang perlu dicapai seperti
Pencapaian 90% dalam literasi dan numerasi. Kejayaan hanya dapat dicapai bila semua pihak bergerak untuk mencapainya. PPD perlu memainkan peranan penting tidak sahaja mengetuai perancangan tetapi perlu turun padang untuk memastikan kejayaan.
Pembangunan yang dirancang perlu dipastikan siap dan dapat digunakan mengikut jadual. Pemantauan pelaksanaan dan kualiti perlu dilaksanakan denga telus dan tulus.
Peningkatan prestasi akademik dalam peperiksaan awam perlu ditingkatkan. Pengurusan Akademik Jabatan perlu memimpin dan memantau PPD dan PPD mesti memantau sekolah.
Kepimpinan sekolah mesti meletakkan sasaran pencapaian masing-masing sebagai baiah kepada PPD dan PPD menyediakan sasaran sebagai baiah kepada JPN.
Penguatkuasaan akta dan pekeliling mesti ditingkatkan supaya pematuhan dapat membantu membina kecemerlangan sekolah. Antara perkara yang perlu dilihat:
Pengetua dan Guru Besar mengajar 6 waktu seminggu.
Pengetua dan Guru Besar mengajar mengikut opsyen masing-masing.
Tiada lagi jadual waktu hantu.
Kehadiran ke sekolah perlu mematuhi jadual.
Pengajaran dan pembelajaran perlu mematuhi jadual.
Semua sektor dan PPD perlu mengambil tindakan yang sewajarnya jika perkara-perkara ingkar masih berlaku.

5. 2010 kita perlu menguatkuasakan semua peraturan, akta dan pekeliling yang ada. Keluarkan surat tunjuk sebab, dipanggil untuk sesi perbincangan, bimbingan dan amaran kepada warga pendidikan yang tidak mematuhi peraturan yang ada. Pastikan apa-apa yang berlaku di peringkat sekolah diselesaikan di sekolah. Apa-apa yang berlaku di peringkat daerah diselesaikan di daerah. Kurangkan aduan hingga ke peringkat 50 %.

6. Dalam melaksanakan tugas seharian kita perlu mematuhi semua peraturan yang ada, semua prosedur perlu diikuti, Mana-mana perkara yang meragukan dapatkan pandangan dan perbincangan dengan rakan yang lebih senior atau rakan yang boleh dipercayai. Ini dapat mengelak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

7. Semua Sektor, PPD, dan semua pengurusan sekolah perlu membina perancangan 2010 yang sesuai dengan peruntukan yang ada. Kepimpinan pendidikan mesti bijaksana menyusun strategi dan kaedah untuk terus menggerakkan aktiviti sama ada perancangan pembangunan, peningkatan prestasi akademik dan pembangunan kokurikulum. Merancang untuk berjaya bukan merancang untuk dilihat sebagai hebat dengan perancangan. Pastikan semua sekolah menyediakan perancangan yang dilaksanakan, bukan hanya pelaksanaan peringkat kertas tetapi pelaksanaan secara benar.

8. Keberkesanan sekolah bergantung kepada kepimpinan sekolah. Keberkesanan PPD bergantung kepada kepimpinannya. Jika sekolah atau PPD gagal bermakna kepimpinannya gagal. Kejayaan hanya dapat dicapai jika kita sedia melihat kegagalan yang lalu. Tidak perlu kepada alasan atau ulasan kerana yang penting ialah tindakan yang berkesan. Jika kita di bawah berusaha untuk ke atas. Gunakan segala peluang dan ruang untuk naik ke atas.

9. Kecekapan dan keberkesanan pengurusan pejabat juga perlu diberikan perhatian. Sistem fail, sistem penyimpanan fail, sistem pergerakan fail, kerja-kerja yang dirancang berdasarkan keperluan dan kesediaan, dan lain-lain hal ehwal pengurusan dan kawalan pergerakan pegawai perlu dibuat. Sebagai ketua perlu ada check and balance dalam melaksanakan tugas seharian.

10. Kita perlu menjana 2010 sebagai tahun negeri Perak bergerak ke hadapan. Kita perlu menjadikan usaha kita tidak untuk suka-suka sendiri tetapi menjadikan usaha lebih sempurna. Tingkatkan kecekapan dalam pengurusan, tingkapkan kecekapan dalam tindakan, tingkatkan kecekapan dalam komunikasi dan tingkatkan kecekapan dalam penghasilan. Tidak ada lagi usaha wewenang dengan impak minima tetapi usaha bersepadu dengan impak maksima.

11. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment