Wednesday, December 8, 2010

Ucapan PPD

MUKADIMAH PELAPORAN UPSR 2010 PDF Cetak E-mail
Rabu, 08 Disember 2010 03:11

Tahun 2010 merupakan titik mula saya berkhidmat di Pejabat Pelajaran Daerah sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak. Saya meletakkan keutamaan tugas dalam bidang akademik kerana 70% core business dalam pendidikan adalah pengurusan Kurikulum.


Dalam perbincangan awal dengan Unit Akademik Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hilir Perak, saya telah dimaklumkan penetapan sasaran yang telah dipersetujui sebagai perjanjian antara Unit Akademik PPD Hilir Perak dengan Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Perak (JPN) bagi UPSR ialah 11.51% untuk kualiti dan 65.00% untuk kuantiti. Penetapan sasaran ini dibuat berdasarkan Take of Value (TOV) 2009 murid-murid tahun lima daerah Hilir Perak.


Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada Unit Akademik PPD Hilir Perak kami menggembleng tenaga merancang beberapa program utama untuk merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan. Antara program tersebut ialah Program Jiran Cemerlang, Program Selia Bantu dan Program Turun Bantu Guru Cemerlang. Kami amat percaya dan yakin program-program ini dapat memberi impak yang positif ke arah pencapaian sasaran UPSR.


Kehadiran tuan pengarah yang baru telah mewujudkan satu gelombang baru dalam bidang pendidikan yang boleh menyuntik semangat kepada pihak pengurusan tertinggi di jabatan, PPD dan sekolah khasnya serta para pendidik amnya ke arah budaya kerja yang cekap, proaktif dan tidak lagi hanya seronok berada di zon selesa. Satu transformasi pendidikan perlu dilaksanakan dengan segera supaya pencapaian UPSR negeri Perak dapat melonjak di kedudukan 5 ke atas. Idea dan mewarnakan sekolah kepada 4 zon warna iaitu biru, hijau, kuning dan merah serta pengisytiharan program darurat telah dilaksanakan di daerah Hilir Perak. Program selia bantu darurat dijalankan ke sekolah-sekolah yang boleh menyumbang ke arah pencapaian kualiti dan kuantiti UPSR sebagai motivasi. Program darurat ini mendapat respons dan maklum balas positif daripada pentadbir sekolah.


Bagi tahun 2010 daerah Hilir Perak telah mencapai kedudukan ke-3 dari tangga ke-4 untuk Gred Purata Sekolah (GPS), ke-4 dari tangga ke-5 untuk peratus menguasai dan mengekalkan tempat ke-5 untuk peratus cemerlang dalam UPSR tetapi peratus cemerlang meningkat dari 62.14% kepada 64.16%. Sekolah Kebangsaan (SK) telah memperoleh 11.01% cemerlang dan 69.43% menguasai iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan oleh daerah. SJKC pula memperoleh 7.13% cemerlang dan 54.87% menguasai manakala SJKT pula memperoleh 3.99% cemerlang dan 51.62% menguasai. Walaupun berlaku kenaikan peratusan menguasai (lulus keseluruhan) tetapi kedua-dua sekolah aliran ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan baik dari peratus cemerlang mahupun peratus menguasai untuk peringkat daerah. Kedua-dua aliran ini juga perlu diurus dengan satu pendekatan yang lebih efektif bagi tahun-tahun yang akan datang.


Secara keseluruhan, pencapaian tahun 2010 merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun. Untuk tahun 2010, keputusan menunjukkan sasaran yang ditetapkan hampir tercapai, iaitu 64.16% berbanding 65% yang disasarkan. Walau bagaimanapun, pencapaian daerah melebihi pencapaian JPN dari aspek (GPS) dan keseluruhan. GPS bagi daerah Hilir Perak ialah 2.28 berbanding JPN iaitu 2.31 manakala daerah Hilir Perak mencapai 64.16% menguasai berbanding 63.27% bagi JPN.


Dasar meletakkan sasaran daerah mesti melebihi sasaran negeri untuk berada di kedudukan tempat ketiga teratas di peringkat negeri (Hilir Perak Top 3) sentiasa dipatuhi. Oleh sebab itu, segala usaha dan upaya digerakkan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini tentunya melibatkan komitmen menyeluruh dan bersepadu daripada warga pendidikan Daerah Hilir Perak selaras dengan slogan Perubahan dan Penambahbaikan Berterusan Menjana Kecemerlangan Pendidikan.


No comments:

Post a Comment